Sunday, April 30, 2006

Talqin Amalan Baik & Berfaedah

- URL asal

Oleh MOHD. YUSOFF ABAS

SOALAN:
Saya lihat di kampung tertentu ada bacaan talkin di perkuburan, begitu juga bila pembesar negara kita meninggal. Kata mereka, ia sunat diamalkan. Adakah ia sama dengan amalan kebajikan dan budaya yang lain? Apakah ada asasnya atau ia perkara bidaah semata-mata?

- Sariah Jafar, Perumahan Awam Pusing, Perak.

JAWAPAN:

Adapun talkin itu ia boleh dikira amalan yang baik lagi berfaedah, bukan saja merupakan satu pengajaran kepada orang yang sudah meninggal, malah pengajaran dan nasihat yang amat berkesan kepada mereka yang masih hidup. Ini kerana suasana tersebut amatlah kudus dan menyayat hati, yang dalam suasana kesedihan itu, manusia akan mudah menerima pengajaran dan keterbukaan hati masing masing terutama kaum kerabat si mati tersebut.

Inilah apa yang dikatakan, suatu kesempatan yang baik, untuk menyampaikan sebarang pelajaran dan ajaran yang baik dan berkesan. Sebab itu ia amat dialu-alukan dalam masyarakat kita hari ini. Dalam hadis ada memerintahkan untuk mengajar (mentalkinkan) orang yang hampir meninggal dunia. Oleh itu anggaplah mereka semua (para pengiring jenazah) dapat menghayati dan merasai dengan hampirnya ajal masing-masing dan akan mengiringi mayat tersebut dengan pemergian keluarga atau sahabatnya.

Sebab itu dalam hadis yang lain baginda ada mengingatkan bahawa orang yang sudah mati itu boleh mendengar suara kasut mereka yang berjalan di atasnya. Di sini perlu diperjelaskan dengan agak panjang untuk diselaraskan antara hadis yang terdapat, mengenai perkara bidaah (yang baru dan diada-adakan) dalam agama. Pertama sekali, agama itu sendiri hendaklah jangan disalah faham secara ibadat ritual sahaja, sehingga ada yang berani mengatakan tidak ada bidaah hasanah dalam agama iaitu ibadah yang fardu ain semata-mata.

Islam adalah satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh, dan merangkumi seluruh kehidupan umat manusia termasuk fardu kifayah.

Firman Allah yang bermaksud: Tidak Ku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat dan mengabdikan diri kepada–Ku. – (Azzariat: 56) dan firman- Nya lagi yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad, bahawa solatku, ibadatku, hidupku dan matiku, hanya untuk Allah Tuhan semesta alam. – (al-An’nam: 162).

Demikian juga sabda nabi yang bermaksud: Sesiapa yang menerokai suatu kebaikan (hasanah), maka baginya pahala dan pahala orang yang mengikut dan menirunya sampai hari kiamat.

Malah tidak mengurangkan pahala mereka sedikit pun. Justeru itu jangan pula kita sempitkan fahaman kita sehingga terikat dengan asbab wurud sahaja kerana ulama ada berkata yang menjadi perkiraan itu bukan dengan khusus sebab, tetapi dengan umum lafaznya, demikianlah sebaliknya.

Sesiapa yang menerokai suatu perbuatan buruk (sayeah) dan jahat, maka atasnya dosa, dan dosa orang yang mengikutinya sehingga hari kiamat tanpa mengurangkan dosa mereka sedikit pun. - (maksud hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Pada keinginan (syahwat) seseorang kamu, ada pahala sedekah, kalau diletakkannya pada tempat yang halal lagi dibenarkan (suami dan isteri masing masing).

Begitulah sebaliknya akan beroleh dosa kalau keinginannya dilepaskan pada tempat yang tidak dibenarkan (haram bukan suami dan isteri).

Malah Rasulullah ada bersabda: Pada senyuman seseorang di depan saudaranya itu, ada pahala sedekah. (hadis riwayat Muslim). Dan sabdanya lagi yang bermaksud: Janganlah kamu memperhinakan atau memperlekehkan sebarang kebaikan suatu apa pun.

Inilah cakap Allah dan Rasul-Nya, yang pasti mengandungi keindahan balaghah dan dalam maknanya yang kadang-kadang agak susah hendak difahami (orang awam), kalau tanpa ilmu yang mendalam. Adapun perbuatan atau adat yang dikira baik dan berfaedah serta digalakkan oleh Islam, kenapa pula dikatakan bidaah? Adakah semata-mata kerana ia tidak pernah sama dengan apa yang diamalkan oleh Rasulullah?

Jangan begitu cepat membuat jangkaan, kerana ibadat seseorang tentu lebih rendah dan tidak ada yang dapat menyamai dengan ibadat Rasulullah. Adakah ibadat kita pun boleh dikatakan bidaah juga, kerana tidak sama dengan ibadat baginda? Sebab itu sesuatu perkara itu tidak ada pada zaman baginda, tetapi jelas, ia disuruh dalam agama, kerana semua orang yang boleh berfikir dan tahu bahawa setiap yang baginda amalkan itu pasti ada kebaikan atau setiap perkara yang tidak diamalkan oleh baginda itu tidak baik atau bidaah.

Ini apa yang dikatakan umum khusus mutlak iaitu berhimpun dua benda dalam satu-satu perkara dan berasingan atau berpisah salah satu benda tadi dalam perkara yang lain.

Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang beriman rukuklah, dan sujudlah, juga beribadatlah terhadap Tuhan kamu, dan buatlah kebaikan, semoga kamu berjaya. – (al-Hajj: 77).

Kata ulama al’atfu lilmughayarah, sebab itu kebaikan itu banyak, termasuk perkara yang dianggap baik oleh masyarakat setempat.

Firman-Nya lagi yang bermaksud: Bersedialah untuk menghadapi musuh kamu itu dengan sebarang kekuatan yang termampu. – (al-Anfal: 60)

Di sini bermaksud persediaan melibatkan alat pertahanan yang canggih dan moden bersesuaian dengan keperluan hari ini. Ini ternyata suatu usaha yang diterima baik oleh seluruh manusia, dan tidak terfikir pun pada masa yang lampau selain pedang dan senjata yang ada pada masa itu sahaja.

Firman-Nya lagi yang bermaksud: Bertolong-tolonglah atas usaha kebajikan dan ketakwaan dan jangan bertolongan atas perkara dosa dan permusuhan sesama sendiri. – (al-Maidah: 2 ).

Daripada ayat ini sudah cukup untuk kita berfikir, apakah amalan budaya yang baik itu bidaah hasanah yang perlu kita tolak, kerana dikatakan ia bidaah, kerana nabi tidak melakukannya. Alangkah dangkalnya pemikiran kita sehingga sesuatu yang digalakkan oleh agama pun kita katakan bidaah sedangkan ia termasuk dalam urusan yang baik lagi makruf.

Kata ulama kita, Imam Jalaluddin dalam bukunya Asybah Wannazaer, adat itu boleh dijadikan hukum, apa lagi adat yang dapat merapatkan hubungan silaturahim dan boleh memperkuatkan perpaduan dan kasih sayang di kalangan masyarakat seperti bersalaman selepas solat jamaah.

Dari sini boleh kita faham bahawa dalil-dalil yang mereka bawa, sebenarnya tidak dapat dijadikan dalil untuk menolak amalan dan budaya kita, yang jelas baik dan berfaedah lagi banyak hikmatnya, seperti yang sedang kita amalkan sekarang, dan ternyata boleh menyatupadukan kita semua bukan seperti di rantau yang lain. Wallahualam.

Blog Archive