Di hadapan kita ada 900 gram beras putih. Kita serahkan beras putih ini kepada orang Arab, orang India dan orang Melayu dan minta mereka mengolahnya. Maka salah satu natijahnya, kita akan lihat orang Arab akan mencampurkannya dengan beras pulut, santan, garam, kunyit, ketumbar, jintan, pala, merica, kayu manis, sirih, jahe, jeruk purut, dan pandan, maka jadilah ia nasi kabuli. Manakala orang India akan mencampurkannya dengan bawang besar, bawang putih, cili hijau, halia, ketumbar, jintan kasar, jintan halus, minyak sapi, kulit kayu manis, bunga cengkih, buah pelaga dan bunga lawang, tomato, daun pudina, serbuk badam, susu isian penuh krim, the koma2, dan air mawar, maka jadilah ia nasi beriani. Orang Melayu pula akan mencampurkannya dengan ikan talang, udang kering, bawang merah, daun mengkudu, daun selom, daun kesum, daun kunyit, daun kaduk, daun pegaga, daun ulam raja, daun sekentut, serai, kerisik, dan serbuk lada, maka jadilah ia nasi kerabu/ulam versi utara.
Di atas adalah bahan yang akan mengubah beras putih, dengan kaedah dan formula masing-masing, menjadi nasi kabuli, nasi beriani dan nasi kerabu oleh individu yang berkelayakan. Saya hanya menyenaraikan bahannya, tak kan pula saya yang menunjuk ajar cara membuatnya, Chef Wan tentu akan mentertawakan saya nanti.
Di kalangan ulama terkenal satu ungkapan yang menyatakan: "al-din nusiba lillahi ta'ala, wa al-millatu nusibat ila al-rasul, wa al-mazhabu nusiba ila al-mujtahid," seperti ditulis al-Jurjani (w. 816 H) dalam kitab mashurnya bertajuk al-Ta'rifat, hal. 92. Mafhumnya, agama adalah disandarkan kepada Allah Ta'ala dan 'millah' (ajaran agama) disandarkan kepada rasul manakala mazhab disandarkan kepada seorang mujtahid. Oleh itu, yang kita dengar adalah agama Allah, millah Ibrahim dan mazhab Hanafi, Maliki, Shafi'i, dan Hambali.
Satu pertanyaan yang mungkin timbul adalah "mengapakah wujudnya empat mazhab dalam Islam selepas kewafatan Rasulullah yang dibawa oleh Imam Hanafi (w. 150H), Imam Malik (w. 179H), Imam Shafi'i (w. 204H) dan Imam Ahmad (w.241H) yang mempunyai pendapat berbeza. Sedangkan Islam itu satu dan empat sahabat iaitu Abu Bakar (w. 13 H), Umar (w. 24 H), Uthman (w. 36H) dan Ali (w. 41H) lebih rapat dengan baginda Rasulullah SAW tidak membawa mazhab masing-masing. Adakah empat mazhab di atas lebih berwibawa daripada empat sahabat Rasulullah?
Mazhab yang berasal daripada bahasa Arab 'za-ha-ba' (pergi) adalah kata benda yang menunjukkan tempat (ism al-makan) atau masa (ism al-zaman) dan sudah kita kenal berkurun lamanya sebagai "cabang ajaran Islam yang diikuti umat Islam." (Kamus Dewan, 811) Daripada definisi ini, kita pun sudah mafhum bahawa mazhab adalah satu cabang daripada satu pokok bernama Islam dan ia tidak lari daripada apa yang dikatakan al-Jurnani di atas dan juga kajian ulama ilmu keislaman.
Dalam kajian sejarah perundangan Islam, ada yang membahagikan sejarah perundangan Islam kepada beberapa fasa iaitu: fasa kenabian (12 SH-11H); fasa khulafa rashidin (11H-40H); fasa sahabat junior dan tabi'in kanan (41H-Permulaan Abad ke2H); fasa perkembangan perundangan Islam (Permulaan Abad ke2H-Permulaan Abad ke4H); fasa pensisteman perundangan Islam (Permulaan Abad ke4H-656H); fasa penerapan mazhab (656H-Akhir Abad ke12H); dan fasa kebangkitan perundangan Islam moden (awal Abad ke13H-hingga sekarang). (Rujuk al-Sadhili, Tarikh al-Tashr' al-Islami).
Di mana letak mazhab yang empat? Dia berada dalam dua fasa iaitu fasa sahabat junior dan tabi'in kanan (41H-Permulaan Abad ke2H) dan fasa perkembangan perundangan Islam (Permulaan Abad kedua hijrah-Permulaan Abad keempat hijrah). Ia bererti kemunculan mazhab berinstitusi adalah lebih daripada 200 tahun selepas kewafatan Rasulullah kerana sememangnya era berkenaan dikenali sebagai era perkembangan dan kemajuan pemikiran perundangan Islam.
Sebenarnya, mazhab daripada kalangan Sunni bukan hanya empat tetapi banyak lagi dan ada yang mengiranya sampai berpuluh-puluh mazhab termasuk selain dari yang empat disebut di atas adalah al-Hasan al-Basri (w. 110H), al-Awza'i (w. 157H), al-Thauri (w. 161H) dan al-Tabari (w. 311H))
Sekarang, mengapa empat mazhab saja (dalam konteks Sunni) yang wujud pada hari ini? Ke mana mazhab yang lainnya? Atau mengapa para sahabat tidak kita kenal mazhab mereka? Di sinilah letak perlu dan pentingnya penulisan sama ada oleh orang yang berkenaan mahupun pengikutnya.
Imam-imam mazhab yang empat memiliki persyaratan di atas mereka menulis dan ada juga pengikutnya yang melanjutkan penulisan sama ada menerusi ringkasan, syarahan, mahupun tambahan kepada yang sudah ada dan akhirnya ramai pengikutnya yang memformulasikan pendapat mereka sehingga sampai hari ini pendapat mereka masih wujud dan menyebar luas dalam ketamadunan manusia moden yang bukan saja terdiri daripada umat Islam.
Sahabat termasuk Khulafa al-Rashidin jika kita semak sejarah, mereka mana sempat nak menulis kerana mereka sama-sama sibuk dalam penyiaran dan pengukuhan agama Islam sehingga timur dan barat kala itu boleh dikuasai .Sahabat bak bintang di langit. Siapapun yang kita pilih pendapatnya maka kita akan selamat seperti sabda Junjungan kita. (Banyak hadis yang menceritakan keistimewaan para sahabat) Mereka adalah penerang mazhab dan penuntunnya di mana kita tidak boleh membandingkan kedua-duanya kerana syarat untuk membandingkannya tidak wujud. Bagaimana nak membandingkan penerang dan yang diterangi?
Perlu diingatkan di sini, pendiri mazhab tidak pernah berobsesi untuk menjadikan pendapat mereka dalam memahami Islam sebagai satu mazhab di kemudian hari. Mereka mentafsirkan dalil syarak untuk kepentingan mereka pada masa itu. Akan tetapi pengikut merekalah yang menyebarkan pendapat berkenaan.
Di sini kita boleh memberikan contoh bagaimana mazhab boleh kekal kerana ia direkodkan dalam karya-karya tulis. Kita ambil mazhab Shafi'i kerana ia menjadi pegangan kita bahkan rasmi di sesetengah negara.
Shafi'i (w.204H) menulis kitab al-Umm kemudian diringkaskan oleh al-Muzani (w. 264H) dan diformulasikan oleh al-Shirazi (w. 476H) dalam kitabnya al-Muhazzab. Kitab yang terakhir disebut ini dan kitab al-Ghazali (w. 505H) al-Wasit) adalah kitab asas penulisan mazhab Shafi'i. Kini banyak kitab rujukan mazhab Shafi'i yang bermula daripada penulis Abad ketujuh bahkan ia sekarang menjadi kandungan beberapa perundangan negara seperti undang-undang keluarga Islam.
Mazhab adalah hasil ijtihad para mujtahid yang diperakui kelayakan mereka untuk berijtihad. Dan ini adalah pemudah cara untuk memahami agama Islam itu sendiri. Ia mempunyai kaedah dan formula ijtihad masing-masing di mana ada di antaranya yang serasi dan ada juga yang tidak serasi; ada yang sama digunakan dan ada juga saling bertentangan. Semua ini menjadikan fikah Islam sebagai inti pembahasan mazhab hidup dan berkembang sesuai zaman, tempat dan keadaan. Jika kita boleh tamsilkan agama Islam bak beras putih yang memberikan kehidupan kepada manusia manakala mazhab adalah bak nasi kabuli, nasi beriani atau nasi kerabu. Islam hanya satu, sedangkan mazhab lebih dari satu dan ini adalah fakta sejarah yang sulit diganggu.
Dan akhirnya, seandainya pada satu majlis rasmi pihak penganjur sudah menyiapkan hidangan nasi kerabu kemudian ada yang membantah bahkan menyalahkan dan menginginkan dihidangkan nasi kabuli atau beriani, apa yang yang terjadi pada majlis itu? Kecoh, ribut, kacau bilau dan kucar kacirlah majlis, bukankah begitu? Begitu pula dengan pemilihan satu-satu mazhab dalam kehidupan bermasyarakat demi memudah cara pelaksanaan agama Islam!? Kerana Ihtiar al-hakim yaqta'u al-khilaf atau pilihan pemerintah adalah pemutus perbalahan seperti disebut dalam satu kaedah fikah. Ini pendapat saya. Wallahu a'lam!
INTI PATI: