Saturday, April 29, 2006

Bank Islam berusaha tebus kerugian – Gabenor

- URL Asal
- Update bagi pos Rugi Lagi?

KUALA LUMPUR 28 April
– Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) yang melaporkan kerugian sebanyak RM480 juta tahun lepas, telah mengambil segala inisiatif untuk menebus kerugian itu, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (gambar).

“Ia telah menunjukkan kemajuan besar yang positif,” katanya tanpa memberi penjelasan lanjut.

Dr. Zeti berkata demikian pada sidang akhbar sempena pengumuman Laporan Tahunan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA) 2005 di sini hari ini.
Kerugian sebanyak RM480 juta yang dialami oleh Bank Islam itu sebahagian besarnya disebabkan oleh pinjaman tidak berbayar (NPL) daripada operasi luar pesisir bank itu di Labuan.

Bank Islam mengakhiri tahun kewangan 2005 dengan peruntukan berjumlah RM774 juta dan NPL berjumlah RM2.2 bilion. Dr. Zeti berkata, laporan awal mengenai perkara itu telah siap tetapi masih ada perkara lain yang memerlukan maklumat lanjut. Beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan beberapa persoalan dan kini menanti laporan penuh mengenainya.

Beliau berkata, kerugian Bank Islam terkumpul sejak tahun 1998 dan LOFSA mengetahui tentangnya. "Cawangan Bank Islam Labuan luar pesisir itu bagaimanapun tidak diberi bantuan oleh Danaharta Nasional Bhd. kerana agensi itu hanya menguruskan aset konvensional. Selain itu, kerugian itu juga berpunca daripada krisis kewangan 1997/1998, pengecutan ekonomi serta beberapa sebab lain,'' katanya.

Mengenai penurunan lebihan berjumlah RM3.4 juta yang dicatat oleh LOFSA pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2005 berbanding RM3.8 juta tahun sebelumnya, Dr. Zeti berkata, ia disebabkan peruntukkan lebih tinggi untuk menampung kerugian besar operasi Bank Islam di Labuan.

Bagaimanapun, Gabenor BNM menambah, pihaknya tidak boleh mendedahkan lebih lanjut intipati laporan itu kerana Bank Islam sendiri adalah syarikat senaraian awam. “Sebagai syarikat tersenarai, Bank Islam sendiri akan membuat kenyataan umum mengenainya,'' kata beliau.

Pada Oktober lalu, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dilaporkan berkata, kerugian yang ditanggung Bank Islam adalah berpunca daripada pemberian pinjaman kepada pihak yang tidak sepatutnya menerima kemudahan itu. Bagaimanapun, Nor Mohamed berkata, perkara itu hanya membabitkan kecuaian beberapa pegawai ketika menjalankan tugas dan tidak menjejaskan perbankan Islam negara ini secara menyeluruh.

Blog Archive