Saturday, October 07, 2006

Ibu sawat Internet pertama mula operasi 6 bulan lagi

Oleh ABDUL RAZAK DIN

BERUAS 6 Okt. – Ibu sawat Internet pertama Malaysia yang ditubuhkan bagi membolehkan akses lebih murah dan memecahkan monopoli asing di negara ini dijangka mula beroperasi dalam tempoh enam bulan lagi.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik berkata, dengan adanya ibu sawat Internet Malaysia itu, negara tidak lagi bergantung kepada Singapura dan Amerika Syarikat (AS) untuk laluan trafik Internetnya.

Katanya, pada masa kini, kesemua trafik Internet Malaysia menuju ke Singapura atau Amerika Syarikat.

‘‘Penubuhan ibu sawat Internet ini yang menelan belanja permulaan RM15 juta dapat membantu negara menjimatkan pertukaran asing berjuta-juta ringgit setahun dalam bentuk caj akses Internet,” katanya.

Keng Yaik berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Informasi Changkat Cermin (PICC) di Padang PPRT Kampung Changkat Cermin, di sini semalam.

Katanya, melalui pembinaan ibu sawat Internet sendiri itu, Malaysia dapat menjimatkan pertukaran asing melalui pelayaran Internet tersebut.

Menurutnya, ini kerana, bagi setiap satu peratus kos trafik Internet yang keluar, ia membabitkan kos sebanyak RM10 juta setahun.

‘‘Bayangkan jika 25 peratus akses Internet kita keluar ia membabitkan kos yang besar membabitkan dalam aliran keluar beratus-ratus juta ringgit,” katanya.

Sebelum ini beliau berkata, penubuhan ibusawat berkenaan membabitkan penarikan kabel Internet antarabangsa ke ibu sawat itu yang bermakna kos pelayaran akan dapat dikurangkan kerana trafik Internet Malaysia yang dihalakan ke AS atau Singapura dikenakan caj yang mahal.

Katanya, sebaik sahaja ibusawat itu diwujudkan, industri itu akan dapat menarik kabel antarabangsa yang kini berada di Singapura ke Malaysia.

Beliau berkata, penubuhan ibusawat ini dibiayai oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan proses pembelian peralatan ibu sawat serta pusat-pusat pemancarnya sedang giat dilakukan.

Dalam perkembangan lain, Keng Yaik berkata, kementeriannya juga akan membina lebih banyak pusat Internet di kampung-kampung menerusi Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) dan Pusat Internet Desa (PID).

Katanya, PICC merupakan projek perintis bagi pusat Internet yang dilaksanakan di Dewan PPRT Kampung dalam usaha mengurangkan jurang digital masyarakat di luar bandar.

Blog Archive