Friday, May 26, 2006

Islam Di Brunei Bermula Pada Kurun Ketujuh

- URL asal

Susunan: ZUNAIDAH ZAINON
BRUNEI adalah sebuah negara tertua di antara kerajaan di kepulauan Tanah Melayu. Dalam catatan sejarah China, Brunei dikenali dengan nama Po-li, Po-lo, Poni atau Puni dan Bunlai manakala catatan Arab pula, Brunei terkenal dengan nama Dzabaj atau Randj.

Catatan tradisi lisan yang diperoleh dari Syair Awang Semaun yang menyatakan Brunei berasal dari perkataan baru ‘nah’ iaitu setelah rombongan klan atau suku Sakai yang dipimpin Pateh Berbai pergi ke Sungai Brunei mencari tempat untuk mendirikan negeri baru.

Replika stupa yang ditempatkan di Pusat Sejarah Brunei menjelaskan bahawa agama Hindu-Buddha pada suatu masa dahulu pernah menjadi anutan penduduk Brunei. Beberapa penemuan replika batu nisan P’u Kung Chih Mu, batu nisan Rokayah binti Sultan Abdul Majid ibni Hasan ibni Muhammad Shah Al-Sultan dan batu nisan Sayid Alwi Ba-Faqih (Mufaqih) pula menggambarkan tentang kedatangan agama Islam di Brunei.

Ia dipercayai dibawa oleh musafir, pedagang dan mubaligh-mubaligh Islam sehingga agama Islam itu berpengaruh dan mendapat tempat di kalangan penduduk tempatan dan keluarga kerajaan Brunei. Dakwah Islam dikatakan tersebar ke negara itu sekitar kurun ketujuh menerusi pedagang dan pendakwah Arab. Kedatangan Islam membolehkan rakyat Brunei menikmati sistem kehidupan lebih tersusun dan terhindar daripada adat bertentangan dengan akidah tauhid.

Awang Alak Betatar ialah Raja Brunei yang pertama memeluk Islam pada 1368 dengan gelaran Paduka Seri Sultan Muhammad Shah. Beliau terkenal sebagai pengasas kerajaan Islam di Brunei dan Borneo. Pedagang dari China yang pernah ke Brunei menggelar beliau sebagai Ma-HaMo-Sha. Beliau meninggal dunia pada 1402.

Dakwah
Beliau dipercayai mendalami Islam daripada Syarif Ali iaitu pendakwah yang berasal dari Taif yang dikatakan berasal dari keturunan Ahlul Bait yang bersambung dengan keluarga Rasulullah melalui cucu Baginda, Saidina Hassan.

Pendekatan dakwah Syarif Ali tidak sekadar menarik hati Awang Alak, malah dakwahnya menambat hati rakyat Brunei. Dengan kebaikan dan sumbangan besarnya dalam dakwah Islam di Brunei, beliau dikahwinkan dengan puteri Sultan Muhammad Shah. Selepas itu, beliau dilantik menjadi Sultan Brunei atas persetujuan pembesar dan rakyat tempatan.

Sebagai pemimpin dan ulama, Syarif Ali gigih mendaulatkan agama Islam antaranya membina masjid dan melaksanakan hukum Islam dalam pentadbiran negara. Selepas tujuh tahun memerintah Brunei, pada 1432, Syarif Ali meninggal dunia dan disemadikan di Makam Diraja Brunei.

Satu lagi catatan bersejarah yang membuktikan penyebaran Islam di Brunei adalah Batu Tarsilah. Catatan pada batu ini menggunakan bahasa Melayu dan huruf Arab. Dengan penemuan itu, ia mengukuhkan bukti kedatangan pedagang Arab ke Brunei dan sekitar Borneo untuk menyebarkan dakwah Islam.

Kegiatan membina masjid untuk dijadikan pusat kegiatan keagamaan dan penyebaran Islam sentiasa dititikberatkan oleh pemerintah Brunei. Terbaru adalah pembinaan Masjid Jamek Asr Hassanil Bolkiah yang kini menjadi mercu tanda dan keagungan dakwah Islam di Brunei.

Ia dirasmikan pada 14 Julai 1994 dan mampu menampung lebih 3,000 jemaah pada satu-satu masa. Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin yang terletak berhampiran Perkampungan Ayer di Sungai Kedayan, Brunei mula dibina pada 4 Februari 1954 atas hasrat dan cita-cita Sultan Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.

Empat tahun kemudian iaitu pada tahun 1958, pembinaannya siap sepenuhnya. Dakwah Islam yang bertapak kukuh di Brunei turut mempengaruhi wilayah lain termasuk ke Sabah, Sarawak dan Kalimantan. Brunei Darussalam, negara yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja banyak menyumbang kepada penyebaran dan pengukuhan Islam di wilayah Borneo, Indonesia.

Blog Archive