- URL asal dari Utusan Malaysia Online.
- Ini adalah rujukan bagi pos Sambut Birthday Nabi.
Bersama: MOHD. YUSSOF ABAS
SOALAN: Apakah hukum perayaan maulidur rasul yang disambut di merata tempat di negara kita? Pada bulan ini mereka mengadakan pelbagai upacara untuk menyatakan kegembiraan dengan kelahiran junjungan besar nabi kita, Rasulullah s.a.w. Tetapi ada pula yang tidak mahu merayakannya kerana kata mereka, perayaan itu bidaah yang tidak pernah diamalkan pada masa Rasulullah dan para sahabatnya, apa pandangan ustaz?
– Mohd. Shukri Ghani, Cheras.
Jawapan: Sebagaimana yang kita semua tahu bahawa amalan perayaan memperingati seseorang pemimpin itu sudah menjadi budaya amalan umat manusia di seluruh dunia malah diakui ia suatu perbuatan yang baik dan banyak kebaikannya daripada keburukan. Sebab itu tidak ada sesiapa yang boleh menolaknya, sekalipun amalan itu bidaah (tidak ada pada masa Nabi menurut sesetengah pendapat.) Tetapi mengikut kata kebanyakan ulama, ia adalah bidaah hasanah dan diberi pahala ganjaran mengikut keikhlasan dan kecintaan masing-masing kepada pemimpin mereka itu. Apa lagi pemimpin agung kita Nabi Muhammad sudah tentu lebih utama lagi, cuma bagi mereka yang tidak tahu mengenang jasa saja yang tidak mahu menyertai sambutan ini.
Sebab itu umat Islam seharusnya mengambil bahagian dan berperanan sama merayakan hari itu bukan sekadar membesar kelahiran junjungan agung Nabi kita tetapi menyambut kehadiran pengurniaan Allah dan rahmat-Nya ke seluruh alam semesta ini. Sebagaimana kita semua tahu bahawa baginda adalah penyelamat alam maya seluruhnya.
Perayaan ini ada asas dan dalilnya berdasarkan satu peristiwa sejarah yang diriwayat oleh Bukhari dalam sahihnya iaitu, bila Nabi berhijrah ke Madinah, baginda melihat orang Yahudi sedang berpuasa pada 10 Muharam. Bila ditanya mengapa; jawab mereka; “Kami berpuasa ini kerana menyambut dan merayakan hari kemenangan Musa dari serangan dan kepungan Firaun.”
Sabda Nabi, kalau begitu aku lebih berhak dengan Musa dari kamu semua. Kata Nabi lagi, aku juga mahu berpuasa pada hari itu dan kalau diberi kesempatan aku akan berpuasa bukan satu hari tetapi dua hari iaitu hari ke-10 Muharam asyura dan tasuaa iaitu 9 Muharam. Jadi daripada hadis ini semua ulama mengatakan sunat berpuasa pada dua hari tersebut, tetapi sebahagian daripada mereka mengambil daripadanya banyak hukum lain dan pengajaran yang berguna yang tidak disedari olah mereka tadi, bukan sunat berpuasa sahaja tetapi perayaan itu sendiri adalah sunat dan digalakkan.
Sebab itu para sahabat semasa ketibaan baginda ke Madinah mengadakan pesta dan sambutan dengan cara masing-masing. Malah ada yang bernasyid seperti melafazkan talaa al badru alaina hingga akhir dan ada yang memanjat pokok tamar dan ada yang menaiki atas bumbung rumah dan ada pula yang memukul tabuh dan keluar ke padang meninjau dan ingin menyambut kedatangan Rasulullah. Begitu juga pengajaran dan hukum mengambil apa yang baik dan berguna untuk kebaikan kita daripada orang bukan Islam. Berhubung hal ini, Baginda ada bersabda yang bermaksud: Hikmah suatu kebaikan itu merupakan barang kepunyaan orang mukmin yang hilang dan bila dijumpainya pasti diambilnya.
Nabi sendiri tidak pernah melarang perbuatan itu dan mengapa pula ada yang cuba melarang. Sedangkan kita tahu bila sesuatu amalan itu dikatakan sunat atau khilafiah, maka logiknya siapa yang mengamalkannya akan mendapat pahala sedangkan orang yang tidak mahu (tidak dapat pahala) dan terpulang kepada individu itu sendiri. Inilah pendirian dan etika ahlussunah yang diamalkan di rantau ini.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menurunkan beberapa dalil yang boleh difikirkan bersama iaitu pertama firman Allah yang bermaksud: Adapun dengan nikmat tuhanmu maka cerita dan sebarkan. (adhuhaa: 11). Dan firman-Nya lagi yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad dengan limpah kurnia Allah itu maka dengan yang demikian itu hendaklah mereka bergembira. (berpesta dan beraya).
(Suruh Yunus: 58). Dan firman-Nya lagi yang bermaksud: Tidak Aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam maya ini. (al-Ambiya: 107).
Kalau Nabi itu sebagai rahmat kurniaan Allah, maka salahkah kita merayakan dan menyambut kedatangannya? Pastilah bagi mereka yang tahu mengenang budi tuhannya akan mensyukurinya dengan melakukan bermacam cara dan ibadah seperti yang diamalkan dalam masyarakat kita hari ini.
Antara ibadah yang dilakukan seperti berselawat, tilawah al-Quran, perarakan, syarahan agama, berzanji, memberi makan fakir miskin, yang semuanya ada asas daripada agama. Adapun bidaah dhalalah itu ialah perkara yang tidak ada asasnya dari agama, tetapi amalan yang dilakukan ini banyak kebaikan dan hikmatnya yang perlu dihormati oleh kita semua. Wallahualam.